LABUAN, 14 Oktober - Sektor perikanan kini menyumbang sebanyak 0.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai dianggarkan sekitar RM11.8 bilion, sekali gus membuktikan daya tahan serta peranan penting sektor itu dalam menjamin keselamatan makanan negara.
Timbalan Menteri Perikanan dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata sumbangan tersebut juga menunjukkan potensi besar sektor perikanan dalam memacu ekonomi pantai serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pada tahun 2024, pendaratan tuna dan spesies seumpamanya di Malaysia direkodkan sebanyak 88,728 tan metrik dengan nilai kira-kira RM890 juta.
“Sabah kekal sebagai penyumbang utama dengan pendaratan dianggarkan sekitar 13,000 tan metrik bernilai hampir RM160 juta, manakala Labuan pula merekodkan 2,400 tan metrik bernilai hampir RM10 juta,” katanya.
Tambah beliau, kedudukan strategik kedua-dua wilayah itu di Laut Sulu dan Laut China Selatan menjadikannya pemangkin penting dalam rantaian bekalan tuna negara, seiring dengan hasrat Malaysia untuk muncul sebagai hab perikanan tuna serantau.
"Pulau Labuan ini berada di lokasi yang sangat strategik antara Laut Sulu dan Laut China Selatan, mendapat akses yang sangat baik kepada ikan tuna dan pada masa sama merupakan satu industri yang boleh membangunkan Pulau Labuan ini serta memastikan wilayah ini dapat menyumbang kepada keterjaminan makanan negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Industri Tuna Labuan 2025 yang berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan.
Pada majlis itu turut disampaikan Speks Pengembangan Perikanan (MYKP) Pasca Tuai Perikanan Tuna Labuan bernilai RM199,920, selain peruntukan RM20,700 bagi perolehan peralatan mesin produk kuih siput tuna.