MELAKA, 1 Disember - Punca jangkitan HIV di Melaka menunjukkan perubahan ketara.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, jika sebelum ini punca jangkitan kebanyakan disebabkan oleh pengambilan dadah secara suntikan, namun kini majoriti kes baharu berpunca daripada hubungan seksual terlarang, termasuk hubungan sejenis.
Manakala, kelompok umur yang paling terkesan adalah golongan dewasa yang bekerja berusia antara 25 hingga 60 tahun.
Bagaimanapun, kes jangkitan HIV di negeri ini tidak menunjukkan peningkatan yang ketara.
"Kita bimbang sebab jangkitan berpunca daripada hubungan seksual yang terlarang. Trend ini dah berubah lebih kurang 10 ke 15 tahun dan kita nampak peningkatan yang sama di seluruh Malaysia, iaitu perubahan daripada penagihan dadah kepada jangkitan seksual," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) di Bukit Baru yang disempurnakan oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya akan menganjurkan Hari Kesedaran AIDS Peringkat Negeri pada 11 Disember ini di Ayer Keroh.