fb fb fb fb fb

Sekolah terjejas banjir terima bantuan segera - Alexander

Foto Facebook Ambrose Abong Bugek

KAPIT 25 Ogos- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan menyalurkan bantuan antara RM5,000 hingga RM10,000 melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) setiap sekolah terjejas banjir selain terus memantau keadaan sekolah, kawasan terjejas banjir serta menyalurkan bantuan segera.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kapit dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, beliau diwakili Setiausaha Politiknya, Ambrose Abong Bugek meninjau ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bena.

"Saya difahamkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Kapit telah pun menyalurkan bantuan pembekalan air bersih untuk kegunaan penduduk sekitar termasuk di sekolah terjejas.

"Kerja-kerja pembersihan sekolah juga sedang giat dijalankan di kawasan sekolah yang terjejas teruk akibat ditenggelami banjir kilat," katanya.

Bagaimanapun jumlah bantuan akan ditentukan mengikut tahap kerosakan sekolah terjejas.

Sementara itu pihak sekolah juga sedang membuat perincian kerosakan sebelum diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

"Saya menyeru semua penduduk, guru-guru dan pelajar-pelajar yang terkesan akibat banjir untuk mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI