fb fb fb fb fb

Sekatan had umur jemaah Haji dimansuhkan tahun ini

RIYADH, 10 Januari-Jumlah jemaah yang menunaikan haji tahun ini akan kembali seperti biasa.. sama seperti sebelum pandemik.

Sekatan had umur bagi musim haji kali ini, juga dimansuhkan.

Perkara itu diumum Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Al-Rabiah pada Ekspo Haji 2023 yang berlangsung di Jeddah.

Menurut beliau, bayaran insurans jemaah haji turut diturunkan kepada 29 riyal berbanding 109 riyal sebelum ini.

Pengurangan kadar juga melibatkan insurans jemaah umrah daripada 235 riyal kepada 88 riyal.

Selain itu, Arab Saudi turut setuju untuk melanjutkan tempoh visa umrah kepada 90 hari berbanding 30 hari ketika ini.

Selain tanah suci.. pemegang visa umrah juga bebas berjalan ke negeri dan wilayah lain seluruh negara.

Arab Saudi turut membenarkan pemegang semua jenis visa untuk melaksanakan ibadah umrah dan menziarahi Madinah.

Sebelum ini kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022 yang mana 85 peratus daripadanya untuk jemaah luar. Jumlah sejuta jemaah itu adalah 45 peratus daripada 2.5 juta orang pada 2019.

Manakala kuota haji bagi Malaysia pada 2022 ialah  14,306 jemaah. Jumlah tersebut menunjukkan penurunan daripada seramai 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, pada 2019. 


(FOTO RTM)

Media Baharu