fb fb fb fb fb

Kira-kira 1,000 penduduk orang asli di Pos Gob terputus hubungan akibat tanah runtuh

GUA MUSANG, 6 Februari - Dianggarkan sejumlah 1,000 penduduk orang asli di Pos Gob, di sini, terputus hubungan selepas jalan perhubungan keluar dan masuk mereka ditimbus tanah runtuh akibat cuaca hujan.

Sejak pagi Jumaat lalu, berlaku kejadian runtuhan tanah dari lereng bukit sehingga merosakkan permukaan jalan balak kira-kira 100 meter dari Kampung Gawin.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Gob, Aman Pak Ngah berkata jalan ke perkampungan itu tidak boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda atau motosikal kerana berisiko tersangkut dalam tanah lumpur.

Menurut beliau, permukaan jalan tanah itu kini masih lagi basah kerana hujan masih lagi berlaku di kawasan itu.


(Sejak pagi Jumaat lalu, berlaku kejadian runtuhan tanah dari lereng bukit sehingga merosakkan
permukaan jalan balak kira-kira 100 meter dari Kampung Gawin)

Tambahnya, semalam, kumpulan pacuan empat roda yang cuba masuk bagi menghantar barangan terpaksa berpatah balik kerana jalan sudah ditimbus dengan tanah runtuh.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata pihaknya mengambil maklum runtuhan tanah berkenaan disebabkan cuaca hujan di kawasan pedalaman.

Katanya, faktor cuaca yang sentiasa hujan menjadikan kerja baik pulih jalan tergendala serta pihaknya akan melaksanakan kerja tersebut selepas cuaca kering.

Media Baharu