KUALA LUMPUR, 6 Februari - Seramai 13 rakyat Malaysia disahkan terlibat dalam gempa bumi dengan kekuatan 7.8 magnitud menggegarkan Turkiye dan Syria.
Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal memaklumkan, kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.
Pemantauan berterusan dilaksana pihak kedutaan dari semasa ke semasa.
"Alhamdulillah pihak kedutaan telah berjaya menghubungi mereka dan mereka berada dalam keadaan selamat dan sihat. Usaha kami akan diteruskan untuk meneruskan hubungan dan mendapat maklum balas mengenai kesihatan mereka. Pada masa ini saya ingin mengambil peluang ini supaya kita bersama sama mendoakan keselamatan seluruh rakyat Malaysia yang berada di Turkiye ini termasuk mereka yang berada di kawasan bencana alam," kata Sazali ketika dihubungi RTM.
(Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal)
Gempa bumi kuat yang melanda Turkiye dan Syria awal pagi itu mengorbankan lebih 2,000 nyawa.
Antara kawasan merekodkan kematian ialah Malatya, Sanliurfa, Diyarbakir dan Osmaniya.
Di Syria pula, korban dicatatkan di Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus.
Kebanyakan mangsa maut akibat terperangkap runtuhan bangunan susulan gegaran.
Angka korban dijangka terus bertambah.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye gegaran turut dirasai di beberapa wilayah dan negara jiran.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan bencana alam itu sebagai yang terburuk sejak tahun 1939.