fb fb fb fb fb

SejaTi MADANI: 6,547 permohonan diluluskan, peruntukan RM590 juta

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 17 Disember- Sebanyak 6,547 permohonan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) melalui Dana Komuniti MADANI telah diluluskan melibatkan peruntukan berjumlah RM590 juta berbanding sasaran peruntukan RM1 bilion yang disediakan dalam Belanjawan 2024.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa, jumlah peruntukan tertinggi iaitu RM100 juta dengan 1,124 permohonan diluluskan adalah Sarawak, diikuti Johor dengan nilai geran sebanyak RM69.58 juta untuk 742 permohonan.

Manakala, bagi negeri-negeri lain seperti Perak, Terengganu dan Kelantan turut menerima peruntukan signifikan dalam usaha pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat.

"Bagi masyarakat orang asli pula, sebanyak 111 permohonan telah diterima. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 52 permohonan yang mematuhi syarat permohonan telah diluluskan melibatkan peruntukan berjumlah RM5.2 juta.

"Negeri Perak mencatat jumlah tertinggi bagi permohonan diluluskan untuk masyarakat orang asli iaitu 28 permohonan dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta, diikuti negeri Johor dengan 11 permohonan yang bernilai RM1.1 juta dan negeri Pahang dengan tujuh permohonan bernilai RM7 juta", katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Manolan Mohamad dalam Dewan Negara hari ini.

Beliau turut menyeru kesemua ahli Dewan Negara menyampaikan kepada komuniti masing-masing bahawa permohonan dana SejaTi MADANI adalah percuma dan terbuka kepada komuniti yang layak. 

Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) tidak mengenakan sebarang caj atau fi bagi permohonan dana SejaTi MADANI dan juga tidak melantik mana-mana ejen.

ROSLINA BINTI DIN