Segerakan rundingan damai, henti konflik di Asia Barat – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Masyarakat antarabangsa diseru bertindak segera bagi menghentikan konflik yang semakin memuncak di rantau Teluk dan Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menyokong usaha rundingan damai sebagai jalan utama menyelesaikan konflik di rantau Asia Barat.
  • Sokongan terhadap seruan kepimpinan Iran agar semua pihak menahan diri harus dihormati dan diambil serius.
  • Ketegangan meningkat dengan serangan berulang terhadap beberapa negara Teluk dan penyebaran keganasan ke Azerbaijan, Jordan dan Turkiye.
  • Serangan ke atas fasiliti tenaga, bekalan air dan infrastruktur mengancam kehidupan harian serta laluan minyak dan perkapalan dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi mengelakkan konflik terus meragut lebih banyak nyawa serta menjerumuskan lebih banyak negara ke dalam krisis berkenaan.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan sokongan Malaysia ke arah usaha rundingan damai.

Menerusi kenyataan di Facebook, Perdana Menteri mengalu-alukan seruan kepimpinan tertinggi Iran supaya semua pihak menahan diri yang daripada terlibat dalam konflik yang sedang berterusan.

Menurut Datuk Seri Anwar, gesaan tersebut wajar dipandang serius dan dihormati, terutama ketika ketegangan serantau terus meningkat.

“Sejarah jarang berpihak kepada mereka yang memilih jalan konfrontasi berbanding rundingan ketika pintu dialog masih terbuka. Mengekalkan ruang dialog memerlukan keberanian yang sebenar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan situasi semasa sebagai amat membimbangkan apabila beberapa negara Teluk termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dilaporkan berdepan serangan berulang.

Pada masa sama, keganasan turut merebak ke negara lain seperti Azerbaijan, Jordan dan Turkiye.

Tambah Perdana Menteri, beberapa kemudahan penting termasuk fasiliti tenaga, pemasangan bekalan air serta infrastruktur lain yang menjadi keperluan harian jutaan penduduk turut menjadi sasaran serangan.

“Laluan minyak dan perkapalan dunia juga melalui kawasan perairan ini. Sebarang gangguan akan memberi kesan diseluruh rantau itu,” ujarnya lagi.