fb fb fb fb fb

Seekor gajah betina ditemukan mati dalam keadaan terduduk



PADANG TERAP, 15 Februari- Seekor gajah betina ditemui mati di Jalan Empangan Pedu, dekat Kampung Pinang, di sini pada pagi Selasa.

Gajah itu dijumpai oleh penduduk kampung yang keluar menoreh getah sebelum menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada kira-kira 8.30 pagi untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah,Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata , tiada kesan kecederaan ditemui pada gajah berkenaan.

"Pihak Perhilitan sedang menunggu pakar forensik membuat pemeriksaan lanjut bagi mendapatkan punca dan sebab sebenar gajah berkenaan mati kerana setakat ini belum dapat dipastikan apakah sebab kematian gajah ini kerana tiada kesan kecederaan seperti ditembak atau luka-luka yang lain," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi penemuan gajah berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kedah Jamalun Nasir Ibrahim berkata setakat ini pihaknya belum mempunyai maklumat terperinci mengenai punca kematian gajah berkenaan.

"Setakat ini tiada maklumat yang boleh saya bagi. Saya pun (perlu) tunggu keputusan dari pasukan forensik yang datang dari ibu pejabat (Jabatan Perhilitan Kuala Lumpur) untuk bedah siasat (punca kematian gajah ini),” katanya.

Seorang penduduk kampung Shazwan Ismail, 25, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh penduduk lain yang terserempak dengan gajah berkenaan semasa keluar menoreh getah pada kira-kira 7.30 pagi tadi.

"Apabila sampai (di lokasi kejadian), saya dapati gajah ini dalam keadaan terduduk, apabila diamati, terdapat kesan darah bersama najisnya yang berkemungkinan gajah betina ini termakan racun atau baja tanaman kebun.

"Penduduk kampung pernah melihat sekumpulan tujuh ekor gajah berkeliaran di kawasan kebun getah mereka dan saya dan mungkin ia salah seekor daripada sekawan gajah berkenaan," katanya.

Media Baharu