FOTO FB DR RADZI JIDIN
KUALA LUMPUR, 15 Februari- Seramai 8,120 guru baharu pengambilan khas secara 'one-off' yang berjaya dalam temu duga fasa dua dan tiga, boleh mula membuat semakan penempatan bermula semalam.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata guru terbabit bakal melapor diri di sekolah masing-masing mulai 1 Mac ini.
"Pengambilan khas guru secara 'one-off' yang membabitkan keseluruhan 18,702 guru itu, bertujuan menyelesaikan isu kekurangan tenaga pengajar yang berlarutan sekian lama.
"Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan. Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat," katanya dlam hantaran akaun Facebook peribadinya.
Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), iaitu pihak berkuasa melantik, untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru secara 'one-off' itu dalam masa terdekat.
Beliau berkata, ia amat penting bagi menampung keperluan guru, khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.
"Insya-Allah, KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang lama berlarutan satu persatu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara," katanya.
Bulan lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) diminta untuk segera menyelesaikan pengambilan khas guru secara one-off.
Radzi berkata ia bagi membolehkan penempatan 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dibuat sebelum sesi persekolahan akan datang bermula.
"Antara tumpuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada masa ini adalah untuk menyelesaikan sepenuhnya pengambilan khas secara one-off bagi 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan.
"Ini adalah penting bagi menyediakan guru berkualiti yang mencukupi untuk memenuhi kekosongan jawatan sedia ada.