KUALA LUMPUR, 4 April- Kerajaan Arab Saudi telah menguatkuasakan penggunaan aplikasi Saudi Visa Bio bagi tujuan permohonan visa haji bakal jemaah tahun ini.
Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menggesa, semua bakal haji untuk segera memuat turun aplikasi tersebut.
"Bakal haji akan menerima emel pengesahan pendaftaran daripada Kementerian Luar Arab Saudi apabila maklumat peribadi telah berjaya dimuat naik ke dalam aplikasi tersebut melalui emel yang didaftarkan.
Setelah mendapat pengesahan, bakal haji perlu terus menyerahkan pasport mereka kepada TH bagi memproses visa tersebut," katanya.
(Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Haji TH)
Aplikasi Saudi Visa Bio merupakan satu lagi inovasi baharu yang diperkenalkan oleh Arab Saudi pada musim haji tahun ini bagi memudahkan permohonan visa bakal jemaah.
Selain, memendekkan tempoh prosedur kemasukan bakal haji ke tanah suci melalui Jeddah dan Madinah.
Malaysia merupakan antara lapan negara terawal di dunia selain Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Kuwait, United Kingdom, Tunisia dan Morocco yang dipilih untuk projek perintis berkenaan.
Ia juga sebagai pengiktirafan reputasi Malaysia sebagai antara pengendali haji terbaik dunia.