fb fb fb fb fb

Satu lagi cawangan pejabat pasport dibuka di Putrajaya

(Saifuddin (kanan) pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2023 hari ini)

PUTRAJAYA, 21 Julai- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan membuka cawangan pejabat pasport baharu yang dijangka dapat beroperasi sepenuhnya, tiga bulan lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata cawangan baharu itu akan dibuka di pusat beli belah Shaftsbury Putrajaya Mall, yang terletak di Presint 1, di sini.

Pembukaannya dijangka dapat memberi kemudahan kepada komuniti yang tinggal di sekitar Serdang, Sungai Besi, Dengkil, Cyberjaya dan Cheras.

"Kami yakin dapat mengurangkan kesesakan di waktu puncak bagi pejabat pasport di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia di Presint 2, Putrajaya.

"Ini dalam fasa akhir yang akan mengambil masa sedikit sahaja lagi, dalam dua ke tiga bulan untuk ubah suai yang tidak terlalu major sifatnya.

"Jadi kita umumkan dulu dan dalam masa tiga bulan kita harap dapat melancarkan satu pejabat baharu ini," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Imigresen 2023, di sini hari ini.

(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail)

Tambah beliau, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun lalu, Imigresen telah mengeluarkan sejumlah 1,613,751 pasport di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, pejabat pasport di Ibu Pejabat Imigresen telah memproses permohonan dan mengeluarkan 68,416 pasport dengan purata permohonan dan pengeluaran 400 pasport sehari.

Imigresen buka pusat verifikasi RTK 2.0

Sementara itu, Saifuddin berkata Imigresen akan membuka pusat sehenti untuk proses verifikasi permohonan pekerja asing oleh majikan dalam program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) bermula 15 Ogos ini.

Ia bagi memudahcara urusan majikan yang telah mendaftar serta mempercepatkan urusan proses RTK 2.0 agar Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dapat dikeluarkan dengan kadar segera kepada pekerja asing terlibat.

Jelasnya pusat sehenti verifikasi permohonan RTK itu akan dibuka di beberapa lokasi terpilih di kawasan Lembah Klang bermula daripada ibu pejabat JIM Putrajaya.

Pembukaan pusat sehenti seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat di lokasi terpilih yang akan diumumkan kelak.

"Dengan tambahan pusat sehenti ini maka majikan tidak perlu lagi, sebelum ini dia diberi tarikh temujanji, sekarang boleh 'walk in'.

"Ini adalah ikhtiar kita untuk membantu memprcepatkan proses RTK 2.0 supaya pas lawatan itu boleh dikeluarkan dengan kadar segera," katanya.

Sejak 27 Januari hingga 14 Julai lalu, Program RTK 2.0 telah menerima dan mendaftar 379,668 permohonan yang melibatkan 51,753 majikan dan 720,099 pekerja.

Daripada jumlah pekerja yang berdaftar itu, seramai 203,677 telah selesai membuat verifikasi.

Media Baharu