KUALA LUMPUR, 28 Ogos- Sasaran Kerajaan MADANI membina 500,000 unit rumah mampu milik (RMM) dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) hampir tercapai dengan 98.8 peratus atau 493,874 unit rumah telah siap dibina dan sedang dalam pembinaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran penuh dijangka dapat direalisasikan dengan kerjasama erat antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerajaan negeri.
“Baki 6,126 unit rumah lagi dapat disiapkan. (Rumah) mampu milik ada juga kaedah ‘Rent to Owned’ (RTO) dan ‘Transit-oriented Development’ dan beberapa projek baharu seperti Kota Madani yang dilancarkan di Putrajaya dan insya-Allah kemudian di Cheras,” katanya.
Beliau menjawab soalan ahli Parlimen Kuala Terengganu mengenai angka terkini rumah mampu milik yang telah siapkan di bawah RMK12, di Dewan Rakyat.
Tambah Datuk Seri Anwar, sebanyak 90 peratus daripada 10,000 unit rumah mampu milik menerusi Projek Kota MADANI di Putrajaya akan dibina buat penjawat awam.
Selain itu katanya, kerajaan turut memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion sebagai jaminan penuh kerajaan dalam Skim Jaminan Kredit Perumahan sejak 2023, bagi membolehkan penjawat awam membuat pinjaman membeli rumah khususnya golongan B40 dan M40.