
MIRI, 12 September – Kerajaan Negeri Sarawak menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
- Tiada andaian mengenai punca nahas sehingga laporan rasmi siasatan dikeluarkan.
- Siasatan perlu dijalankan secara profesional mengikut prosedur dan peraturan penerbangan antarabangsa.
- Keutamaan kerajaan ialah pengurusan mangsa serta kebajikan keluarga; operasi pengenalpastian melalui DNA telah selesai.
- Status operasi Lapangan Terbang Long Lellang dan tarikh pembukaan semula bergantung kepada pengesahan Malaysia Airports dan CAAM.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, sebarang andaian atau komen berhubung punca nahas tidak wajar dibuat sebelum laporan rasmi siasatan dikeluarkan.
Beliau berkata, siasatan perlu dijalankan secara profesional serta mengikut prosedur dan peraturan penerbangan yang ditetapkan.
“Keutamaan kerajaan ketika ini ialah memastikan pengurusan mangsa serta kebajikan ahli keluarga mereka dapat dilaksanakan dengan segera dan teratur.
Operasi membawa pulang mangsa telah dilaksanakan mengikut prosedur, manakala proses seterusnya termasuk pengenalpastian melalui DNA juga selesai,” jelasnya.
Dalam pada itu, berhubung status Lapangan Terbang Long Lellang, Datuk Seri Lee berkata pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Malaysia Airports dan CAAM sebelum operasi penerbangan di lapangan terbang berkenaan dibenarkan semula.
“Walaupun tarikh pembukaan semula sebelum ini dicadangkan pada 12 September, keputusan muktamad masih bergantung kepada notis rasmi pihak berkuasa penerbangan,” jelas beliau lagi ketika ditemui media di sini.
Mengenai langkah keselamatan selepas kejadian itu, beliau berkata kerajaan Sarawak akan berbincang dengan CAAM dan pihak berkaitan bagi meneliti sebarang penambahbaikan yang perlu.
“Aspek keselamatan penerbangan termasuk prosedur kelulusan sebelum sesuatu pesawat dibenarkan berlepas perlu dikaji secara profesional, selaras dengan peraturan penerbangan antarabangsa,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Lee menegaskan perkhidmatan Doktor Udara atau Flying Doctor Service (FDS) kekal penting bagi Sarawak khususnya untuk penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Menurut beliau, perkhidmatan itu menjadi keperluan penting bagi memastikan penduduk yang sukar mendapatkan akses kepada kemudahan perubatan dapat menerima rawatan.