fb fb fb fb fb

Sarawak peruntuk RM3.5 juta perkasa STEM

FOTO RTM

KUCHING, 28 Januari- Sekolah atau institusi pendidikan tinggi dan vokasional diseru untuk meningkatkan keterlibatan pelajar dalam program teknologi dan inovasi untuk membangunkan subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik STEM.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata ia berikutan kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan khas berjumlah RM3.5 juta tahun ini.

Geran tersebut bagi menyediakan sokongan kewangan kepada pihak sekolah, institusi pengajian tinggi dan vokasional untuk melengkapkan graduan dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berkembang maju.

Beliau menyatakan demikian selepas Simbolik Penyerahan Surat Kelulusan Geran MEITD Fasa Pertama di Kuching hari ini.

Pada majlis itu sejumlah RM455,000 geran diluluskan oleh MEITD kepada 15 penerima mewakili sekolah, institusi dan kolej vokasional masing-masing.

Sementara itu, Datuk Seri Roland memberitahu, pendedahan Perjanjian Malaysia 1963 MA63 dalam sukatan pelajaran Sejarah untuk sekolah menengah masih belum diputuskan.

Beliau menjelaskan, keputusan mengenai perkara itu terletak bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) Persekutuan.

Pada masa sama, beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap cadangan Menteri KPM Fadhlina Sidek berkenaan penyertaan MA63 yang menurutnya menunjukkan sistem pendidikan negara berada di landasan yang betul.

Ujarnya ia bukan sesuatu yang boleh ditambah dalam pelan pendidikan dan dilaksanakan serta-merta berikutan memerlukan pakar untuk menulis bahan rujukan supaya pelajar dapat mempelajarinya.

Dalam usaha meningkatkan kefahaman tentang MA63, di peringkat Sarawak beliau berkata kerjasama dengan Kampus Swinburne University of Technology Sarawak turut diadaka. dalam memperkenalkan program ijazah undang-undang.

Program itu akan merangkumi kajian mendalam mengenai MA63, termasuk Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE