KUALA LUMPUR, 28 Januari- Pelancaran Chatbot Sebenarnya.my mencerminkan komitmen kerajaan dalam membanteras penyebaran berita palsu dalam talian, jelas Profesor Madya Dr Sabariah Mohamed Salleh.
Beliau yang merupakan Ketua Program Media dan Komunikasi di Pusat Kajian Media dan Komunikasi dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata inisiatif itu memperkasa portal Sebenarnya.my sambil membantu rakyat mendapatkan maklumat sahih dengan lebih pantas dan mudah.
"Penyebaran maklumat palsu dan maklumat salah semakin berleluasa. Chatbot ini menyediakan respons segera, memudahkan pengguna menaip soalan, mengaksesnya 24 jam dan mengendalikan pertanyaan yang berulang," katanya kepada RTM.
Dr Sabariah turut menzahirkan harapan agar Chatbot Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) itu mampu mengubah landskap informasi dan menangani maklumat salah.
"Ini adalah permulaan yang baik. Saya teruja untuk melihat bagaimana Chatbot ini akan terus dibangunkan dan dikembangkan. Pada masa yang sama, saya ingin menyaksikan bagaimana ia mampu mengubah landskap informasi dan menangani misinformasi (maklumat salah)," katanya lagi.
Chatbot Sebenarnya.my diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menawarkan perkhidmatan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil untuk memastikan capaian meluas kepada pelbagai kumpulan pengguna.
Ia platform mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam menerusi portal https://sebenarnya.my/ dan platform WhatsApp yang dibangunkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).
BERITA BERKAITAN