fb fb fb fb fb

Sarawak komited agenda transformasi ekonomi digital, tarik pelabur asing

KUCHING, 7 Oktober - Sarawak akan terus memacu agenda transformasi ekonomi digital berasaskan teknologi mampan ke arah menjamin kemajuan serta kemakmuran negeri ini.

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata ini akan menjadikan Sarawak salah satu nama yang sinonim dengan perkembangan teknologi hijau di rantau Asia Tenggara dan seluruh dunia.

"Sarawak kini sudah pun menerokai pelbagai jenis teknologi baharu yang bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada rakyatnya, malah mampu menarik pelaburan asing dalam meningkatkan pendapatan ekonomi negeri ini," katanya pada sidang media selepas penutupan Kongres Teknologi Dan Inovasi Dunia (WCIT) ke-27 2023 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Ke-6 (IDECS) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Kongres WCIT Ke-27 serta Persidangan IDECS Ke-6 yang berakhir semalam membolehkan Sarawak mempelajari pelbagai perkara serta isu-isu berkaitan teknologi digital yang perlu diterokai ke arah memacu agenda ekonomi digital negeri itu ke tahap yang lebih tinggi.


(Para peserta dari dalam dan luar negara hadir pada hari terakhir Persidangan Ekonomi Digital dan Infrastruktur ICT Antarabangsa Sarawak (IDECS)
di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK)/FOTO BERNAMA)

Beliau juga yakin, penganjuran WCIT-IDECS selama tiga hari di Kuching kali ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Sarawak mempelajari pelbagai perkara serta isu-isu berkaitan teknologi digital malah membuka peluang kepada lebih 10,000 peserta daripada 62 buah negara.

Pada Khamis lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak komited mentransformasikan ekonomi berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi dipacu teknologi mapan menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.

Pelan komprehensif itu dirangka berdasarkan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 yang sedia ada serta bertindak sebagai fungsi asas Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS2030).

Media Baharu