BALING, 6 September - Penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak lagi terhad kepada pasar raya besar semata-mata, sebaliknya turut diperluas ke kedai runcit dan pasar raya kecil di kawasan luar bandar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sekali gus menepis tohmahan bahawa inisiatif tersebut hanya memberi manfaat kepada pasar raya besar.
Beliau berkata, kerajaan juga memberi penekanan kepada produk tempatan untuk dimasukkan ke dalam senarai barangan di bawah program SARA.
"Pertama, bukan sahaja pasar raya besar yang terlibat, malah pasar raya kecil juga turut termasuk.
"Keduanya, kita kini menggalakkan penambahan produk-produk tempatan. Sebagai contoh, ada kopi dari Baling serta pelbagai jenis kicap dari Kuala Kedah, Alor Setar dan juga Kelantan.
"Jadi, terdapat dua kelebihan. Pertama, untuk memastikan pelaksanaannya lebih meluas. Ketika ini, terdapat kira-kira 2,000 premis yang tidak termasuk dalam kategori pasar raya besar, iaitu melibatkan pasar raya kecil.
"Dan jika boleh, kita ingin tambah lagi, mungkin dengan adanya sistem yang lebih baik. Selain itu, kita juga memberi keutamaan kepada produk tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Outreach SARA di sebuah pasar raya di sini.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Setakat enam hari pelaksanaan program Penghargaan SARA, jumlah nilai jualan telah mencecah RM107.1 juta, melibatkan lebih 1.7 juta penerima setakat semalam.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa kadar transaksi berjaya kekal stabil pada paras 99 peratus.