KUALA LUMPUR, 22 Disember - Seramai 5.6 juta penerima menikmati manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan perbelanjaan bulanan mencecah RM4.59 bilion, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.
Tinjauan VOXPOP mendapati, majoriti penerima menyifatkan bantuan berkenaan amat signifikan dalam menampung keperluan asas harian, terutamanya pembelian barangan makanan dan keperluan dapur, di tengah-tengah peningkatan harga barangan yang berterusan.
Menurut Nurhidayah Muhd, bantuan SARA banyak membantu rakyat dan diharapkan dapat diteruskan pada tahun hadapan bagi mengurangkan beban kewangan isi rumah.
Sementara itu, Amirah Khairul Rizal berkata, bantuan tersebut dimanfaatkan untuk membeli keperluan adik-beradik serta ibu bapa, dan berharap skim sama dapat diteruskan pada tahun depan.
Bagi Nurqarmieladammiea pula, peningkatan kos sara hidup ketika ini amat dirasai, namun bantuan SARA sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan dan turut berharap bantuan berkenaan dapat diteruskan.
Pandangan sama dikongsi Roma Te Raman yang menyifatkan, bantuan SARA membolehkannya membeli barangan dapur dengan lebih mencukupi sepanjang tahun ini, juga berharap jumlah bantuan dapat ditambah pada masa akan datang.
Menurut Syaheeba Marshidi, bantuan bernilai RM100 dimanfaatkan sepenuhnya untuk membeli barangan asas seperti makanan kering, air minuman dan beras. Beliau berharap bukan sahaja diteruskan, malah jumlah bantuan dapat ditingkatkan bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan.
Imthiran pula berkata, bantuan SARA digunakan untuk membeli keperluan asas seperti beras dan minyak masak, namun mengakui jumlah sedia ada masih belum mencukupi memandangkan harga barangan yang semakin mahal.
Sementara itu, Liew P.S berpendapat, bantuan RM100 amat cepat habis digunakan dan mencadangkan supaya jumlah bantuan ditingkatkan kepada RM150 atau RM200 bagi memberi kesan yang lebih besar kepada rakyat.
Pandangan tersebut turut disokong pekerja gig, Syamsul Arif dan penjaja apam balik, Nurul Syafiqah Muhd Nur, yang berharap kerajaan dapat menambah jumlah bantuan SARA pada tahun hadapan sejajar dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.
Bagi May Ng dan Fazli Rosli pula, peningkatan kos barangan harian menyebabkan bantuan RM100 dianggap tidak mencukupi, sekali gus berharap kerajaan mempertimbangkan penambahan jumlah bantuan demi kebajikan rakyat.
Secara keseluruhan, pelaksanaan SARA dilihat memberi impak positif kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Rata-rata penerima berharap agar bantuan tersebut bukan sahaja diteruskan, malah diperkukuhkan dan ditambah baik bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.