KUALA LUMPUR 22 Disember - Malaysia tampil secara terbuka menyokong misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza, ketika kuasa-kuasa besar dunia membisu dan menghukum individu yang bersuara menentang kezaliman rejim Zionis.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bertindak pantas apabila flotilla diserang Israel pada 2 Oktober lalu dan menahan sukarelawan kemanusiaan termasuk 23 anak Malaysia.
"Setiap saat dimanfaatkan untuk merangka strategi, menggerakkan saluran diplomatik dan memastikan keselamatan mereka menjadi keutamaan mutlak negara.
Beliau berkata rundingan tertinggi dengan Turkiye, Mesir, Jordan dan Amerika Syarikat membuahkan hasil.
"Kesemua wira kemanusiaan kita dibebaskan dengan selamat dan kembali ke tanah air pada 7 Oktober, menjadi berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan ini dengan penuh harapan.
Beliau menyifatkan keberanian sukarelawan itu meredah lautan dan keteguhan jiwa mereka memperjuangkan nasib penduduk di Palestin, meskipun diperlakukan secara biadab dalam tahanan Israel, menjadi cerminan kekuatan solidariti Malaysia.
"Semoga keberanian ini terus menyala dan memandu kita untuk berdiri teguh bersama Gaza hingga keadilan tertegak di bumi Palestin yang merdeka", kata Datuk Seri Anwar menerusi laman media sosialnya.