PUTRAJAYA, 22 Disember –Usaha dakwah terus diperkukuh menerusi kolaborasi bersama ulama antarabangsa bagi membentuk pemikiran masyarakat yang seimbang dan berteraskan nilai ihsan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kehadiran tokoh ulama luar negara wajar dimanfaatkan secara optimum bagi memperkasakan program dakwah, khususnya dalam pembentukan fikrah.
Menurut beliau, menerusi inisiatif berkenaan, usaha dakwah dapat dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi aspek pendidikan, adab dan akhlak.
Dr. Zulkifli berkata, keutamaan ketika ini adalah membentuk pemikiran masyarakat yang bersifat wasatiyyah.
“Ziarah mahabbah seperti ini perlu diteruskan. Sebagai pemimpin, kita perlu mendengar dan menerima nasihat para ulama. Hubungan antara ulama dan umara mesti diperkukuh.
Banyak usaha dakwah boleh dilaksanakan dari sudut pendidikan, adab dan akhlak. Namun yang paling penting ialah pembentukan fikrah masyarakat agar bersifat sederhana, insani dan berteraskan nilai kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima Kunjungan Mahabbah dua tokoh ulama antarabangsa, Ustaz Abdul Somad dan Sheikh Dr. Khalil Ilyas, di Kompleks Islam Putrajaya, di sini.
Menurutnya, kedua-dua tokoh berkenaan mempunyai pendekatan serta kekuatan tersendiri dalam menyampaikan mesej Islam kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Kolaborasi dakwah itu diyakini mampu meningkatkan kefahaman Islam yang seimbang serta menyumbang kepada kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.