KUALA LUMPUR, 7 Januari - Menyantuni pengundi dan memahami keperluan rakyat perlu dilakukan sepanjang masa.
Ini bagi memastikan nasib mereka terus dibela dan tidak terpinggir dari arus pembangunan negara.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata rakyat perlu menjadi keutamaan dan bantuan segera perlu disalur jika diperlukan tanpa perlu menunggu musim pilihan raya.
"Saya rasa terhutang budi kerana kalau tidak ada pengundi-pengundi yang mengundi saya tidaklah jadi Ahli Parlimen. Jadi saya datang tengok lagi bagaimana keadaan di sini.
"Saya dapat aduan bahawa ada air tapi kena angkut. Kita fikirkan macam mana nak memperbaiki prasarana, jadi senang sikit penjual-penjual menjalankan perniagaan. Apa yang kita mahukan adalah perkhidmatan," katanya.
Dr Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak ditemui pemberita pada Program Turun Padang (TUPA) di sekitar Pasar Sungai Besi, di sini.
Pada program itu, Dr Wan Azizah bersama Yayasan Wilayah Persekutuan turut menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk Orang Kurang Upaya (OKU) di Pangsapuri Seri Johor.