ADDIS ABABA, 19 November - Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali, dalam satu sambutan rasmi yang disifatkan sebagai unik, memandu sendiri kenderaan yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar lbrahim ketika beliau memulakan lawatan rasmi ke negara itu pada Selasa.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bole di sini, Abiy memberi kejutan dengan menyambut sendiri Datuk Seri Anwar dan delegasi, sebelum kedua-dua pemimpin bergerak ke Leaders Lounge bagi sesi pertemuan ringkas.
Perdana Menteri kemudian dibawa oleh rakan sejawatnya melawat Muzium Sains Ethiopia yang menampilkan sejarah pembangunan teknologi dan inovasi negara itu.
Muzium yang terletak kira-kira 30 minit dari lapangan terbang dengan menaiki kereta itu merupakan antara simbol kemajuan infrastruktur moden Ethiopia.
Datuk Seri Anwar turut dibawa melihat "Friendship Park", sebuah taman yang menjadi tumpuan warga Ethiopia serta pelancong.
Abiy kemudian membawa Datuk Seri Anwar ke Hotel Sheraton Addis sekali gus mengakhiri acara lawatan pada Selasa.