fb fb fb fb fb

Sambutan Maulidur Rasul: Perarakan kembali, tema "Membangun Ummah MADANI"

Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Hubungan Luar Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Intan Syahrina Zainal Abidin

KUALA LUMPUR, 4 September- Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2025 bakal disambut dengan penuh kemeriahan dan signifikan.

Mengangkat tema "Membangun Ummah MADANI", selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan nilai keadilan, ihsan dan pembentukan masyarakat beradab.

Menurut Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Hubungan Luar Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Intan Syahrina Zainal Abidin, tema tahun ini mengetengahkan naratif kepimpinan Rasulullah SAW yang membentuk masyarakat berteraskan nilai-nilai murni melalui pendekatan ihsan dan keadilan.

"Naratif "Membangun Ummah MADANI" ini sangat signifikan dengan ekspresi Malaysia MADANI kerana kedua-duanya berkongsi asas nilai yang sama iaitu membawa perubahan ke arah kebaikan. Pertama, ia menekankan usaha membina masyarakat yang beradab, kedua ialah mengangkat aspek kepimpinan yang berteraskan keadilan dan ihsan.

Tahun ini lebih istimewa kerana perarakan dapat dilaksanakan, berbeza dengan tahun lalu. Program bermula seawal puku 7.30 pagi di MAEPS, dimulakan dengan perarakan berselawat bersama-sama. Insya-Allah, suasana kali ini lebih meriah berbanding sebelumnya," kata Intan Syahrina kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Perarakan melibatkan peserta perarakan yang terdiri pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta.

Tambah beliau, keunikan sambutan kali ini memperlihatkan Masjid Quba, masjid pertama yang dibina Rasulullah SAW selepas penghijrahan ke Madinah.

Masjid tersebut dianggap simbolik kepada pembangunan masyarakat Islam awal yang menekankan peranan masjid sebagai pusat ilmu, perpaduan dan pentadbiran.

Dalam pada itu, beliau juga turut memaklumkan selain acara utama, masjid-masjid utama di seluruh negara seperti Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan turut menganjurkan program seperti ceramah, tazkirah dan forum bersempena sambutan Maulidur Rasul.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM