fb fb fb fb fb

Sambutan Ma’al Hijrah erat ukhuwah umat Islam di Labuan

Majlis Sambutan Ma'al Hijrah 1447 Hijrah / 2025 Masihi peringkat Wilayah Persekutuan Labuan menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan umur itu turut dihadiri Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman, serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib

LABUAN, 26 Jun- Majlis Sambutan Ma'al Hijrah 1447 Hijrah / 2025 Masihi peringkat Wilayah Persekutuan Labuan disambut dalam suasana harmoni dan penuh penghayatan di Masjid Muhammad V, malam tadi.

Majlis yang menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan umur itu turut dihadiri Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman, serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib.

Acara dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun sebelum azan maghrib dan disusuli dengan bacaan doa awal tahun 1447 Hijrah sebelum iqamat, sebagai simbolik permulaan tahun baharu Islam.

Pengisian rohani diteruskan dengan Tazkirah Ma’al Hijrah yang disampaikan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Labuan, Sahibul Fadhilah Ustaz Nik Azlan Nik Man.

Tazkirah bertajuk “Membangun Umat MADANI” menekankan kepentingan membina masyarakat Islam yang progresif, berakhlak mulia dan sejahtera, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang digagaskan kerajaan.

Sambutan Ma’al Hijrah kali ini bukan sekadar rutin tahunan, malah menjadi medan untuk memperkukuh ukhuwah sesama umat Islam serta memperbaharui azam dan iltizam dalam menghadapi cabaran masa hadapan sebagai umat yang cemerlang dunia dan akhirat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE