fb fb fb fb fb

Sambutan HAWANA 2025 meriah

Reruai RTM antara yang menjadi tumpuan ramai

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Kehangatan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 disemarakkan dengan kehadiran generasi muda dari pelbagai institusi, yang bukan sahaja mencuba pengalaman menjadi penyampai berita, malah turut berkongsi pandangan kritis mengenai peranan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia kewartawanan.

Tinjauan mendapati semangat, keterujaan dan harapan jelas terpancar pada wajah mereka yang membanjiri reruai media di Sunway Putra Mall.

Antara tumpuan utama ialah reruai Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menyediakan peluang eksklusif kepada pengunjung untuk mencuba peranan sebagai pembaca berita secara langsung.

Bertemakan Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika, penganjuran kali ini tidak hanya menjadi medan penghargaan kepada wartawan veteran, malah turut memberi ruang kepada pelajar kewartawanan dan pengunjung umum menimba ilmu serta menyuarakan pandangan mengenai masa depan media dalam era digital.

 1406 NSL TINJAUAN HAWANA AI 1
Nur Sarah Iman

Nur Sarah Iman, pelajar kewartawanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berkongsi keterujaannya selepas mencuba pengalaman membaca berita di reruai RTM.

"Saya pelajar kewartawanan, jadi bagi saya program macam ini sangat menarik dan patut diteruskan. Ia membantu kami lebih mengenali bidang ini secara praktikal,” katanya.

Bagi Mogana Ray Muniandy, pendedahan secara langsung kepada dunia penyiaran membuka matanya terhadap cabaran dan keperluan dalam menjadi seorang pembaca berita.

“Kita perlu yakin, fokus dan mampu berkomunikasi dengan beribu orang walaupun tidak nampak siapa di depan. Saya rasa ramai tidak sedar betapa mencabar tugas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Sharifah Nur Ain Syed Abdul Rahim pula berkongsi pendapatnya mengenai AI dalam bidang profesional.

 1406 NSL TINJAUAN HAWANA AI 3
Sharifah Nur Ain Syed Abdul Rahim

“Sebagai guru, AI pun dah diperkenalkan. Saya setuju ia perlu diteruskan tetapi mesti digunakan dengan berhemah, bukan 100 peratus bergantung padanya,” katanya.

Isu AI juga menjadi antara topik perbualan hangat dalam kalangan pengunjung.

 1406 NSL TINJAUAN HAWANA AI 4
Fara Alisa Harris

Fara Alisa Harris dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang hadir buat kali kedua ke HAWANA, menyifatkan AI sebagai alat bantu yang berkesan jika digunakan secara bertanggungjawab.

“Saya buat FYP (projek tahun akhir) tentang AI. Untuk tulis skrip dan sunting berita, AI memang membantu. Tapi kalau salah guna, boleh beri kesan buruk juga,” katanya.

Keseluruhannya, sambutan hari kedua HAWANA 2025 jelas bukan sekadar sebuah acara konvensyen media, ia menjadi platform inspirasi yang membina, memberi pengalaman praktikal dan mencorakkan pemikiran generasi pelapis dalam memahami cabaran serta potensi masa depan dunia kewartawanan.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK