fb fb fb fb fb

Sambutan Hari Ulang Tahun Jubli Emas Briged Kelapan Infantri meriah

(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa hadir pada sambutan Hari Ulang Tahun
Jubli Emas Briged Kelapan Infantri di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan)  

KOTA BHARU, 17 Julai - Lebih 1,000 orang hadir memeriahkan pameran dan ekspo sempena sambutan Hari Ulang Tahun Jubli Emas Briged Kelapan Infantri di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, di sini.

Pengunjung yang hadir boleh melihat pelbagai segmen interaktif berbentuk ketenteraan meliputi pameran senjata kecil, pertunjukan ikhtiar hidup, demonstrasi prosedur percakapan radio dan pengendalian peralatan semboyan.

Sepanjang tiga hari sambutan, turut diadakan pameran rangsum tempur bungkus kantung serta promosi kerjaya askar wataniah.

Turut diadakan program jualan oleh Perwira Niaga Malaysia (Pernama) yang menawarkan harga barangan berpatutan dan promosi pelbagai barangan antaranya sofa, pinggan mangkuk berjenama dan barangan elektrik.


(Datuk Jamal Abdillah antara barisan artis yang membuat persembahan acara pentarama sempena 
sambutan Hari Ulang Tahun Jubli Emas Briged Kelapan Infantri)

Selain pameran dan ekspo ketenteraan, beberapa agensi seperti kerajaan dan swasta antaranya, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) turut membuka gerai pameran masing-masing.

Program sambutan turut dimeriahkan dengan acara pentarama di Padang Pavilion 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan penampilan istimewa Datuk Jamal Abdillah, Datuk DJ Dave dan artis tempatan lain malam tadi.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Pengarah Penyiaran Kelantan, Wan Azhan Wan Hamat.

Media Baharu