fb fb fb fb fb

DBKL, ThinkCity anjur Pentas Seni Merdeka di Dataran Merdeka

(Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias ditemu bual media selepas 
melancarkan Edisi Pertama Pentas Seni Merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 17 Julai - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama ThinkCity menganjurkan Pentas Seni Merdeka di Dataran Merdeka dalam usaha mengaktifkan ruang awam di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Selain persembahan tarian ronggeng Melayu, ia turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti pembuatan terarium, permainan tradisi dan 'food truck' untuk menarik perhatian orang ramai, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

"Ini adalah satu lagi pendekatan baharu, antara Kuala Lumpur dan ThinkCity untuk memastikan ruang-ruang awam, 'the common area' (kawasan umum) digunakan sepenuhnya apatah lagi di waktu hujung bulan, hujung minggu dan yang penting ialah pelbagai kaum dan masyarakat dapat berhimpun bersama-sama dengan keluarga mereka untuk mengisi masa lapang mereka," kata beliau selepas melancarkan Edisi Pertama Pentas Seni Merdeka bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan pengarah urusan ThinkCity, Hamdan Abdul Majeed, di sini.


(Datuk Seri Jalaluddin Alias merasmikan Edisi Pertama Pentas Seni Merdeka di Dataran Merdeka,
Kuala Lumpur)

Pentas Seni Merdeka bertujuan untuk meningkatkan ekuiti sosial dan meletakkan DownTown KL sebagai daerah budaya dan kreatif menerusi empat edisi pentas seni secara percuma.

Di samping itu, Hamdan berkata peniaga yang ingin mendapatkan kebenaran untuk berniaga di kawasan ruang awam Jalan Raja, Kuala Lumpur boleh menggunakan kesempatan tersebut untuk mendapatkan geran perniagaan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Geran Downtown Kuala Lumpur, pihak berkaitan boleh melayari laman sesawang www.thinkcity.com.my/downtownkl.

Media Baharu