fb fb fb fb fb

Sambutan Hari Sarawak ke-61 tahun di Bintulu diselitkan pelbagai program menarik

Raptai penuh sambutan Hari Sarawak ke-61

BINTULU, 20 Julai- Sambutan Hari Sarawak ke-61 tahun yang diadakan di Bintulu menjanjikan beberapa program yang menarik bermula pada hari ini hingga 22 Julai nanti .

Program pertama yang diadakan sempena Sambutan Hari Sarawak tersebut ialah Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada hari ini bertempat di Dewan Suarah Bintulu .Ianya , menghimpunkan pelbagai penganut agama Kristian, Buddha, Tao , Sikh, Hindu dan Baha’i.

Manakala, keesokan harinya, Majlis Kesyukuran Sambutan Perayaan Hari Sarawak yang diadakan di Masjid Assyakirin Bintulu yang dihadiri oleh Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr. Haji Wan Junaidi Tuanky Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi bersama Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut diadakan acara Fun Ride, melibatkan kayuhan sejauh 15km bermula pukul 6.25 pagi di Dewan Suarah Bintulu pada Isnin, 22 Julai 2024.

Pada hari yang sama, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga dijadualkan merasmikan Kompleks Metanol Sarawak di Tanjung Kidurong serta menghadiri Dialog Perniagaan Bersama Dewan Perdagangan dan Industri Sarawak berkenaan Pembangunan Tenaga Yang Boleh Diperbaharui bertempat di Restoran Dinner World.

Turut diadakan juga sesi 'townhall' Hari Sarawak 2024 di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu dan pada sebelah malam pula , kemuncak sambutan perayaan Hari Sarawak di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.

Antara pengisian acara kemuncak sambutan ialah persembahan pantomin muzikal berdurasi 20 minit yang menggabungkan elemen-elemen penceritaan lagu dan muzik, paparan suara latar (VO) dan visual bersejarah dan terkini, koreografi gerak serta lakonan untuk mengangkat ke pentas dokumen penting penyertaan Sarawak sebagai rakan kongsi termaktubnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam pembentukan Malaysia serta persembahan Tuku’ Kame’ dan Akoustik Connextion serta nyanyian oleh dua artis kelahiran Sarawak, Dayang NurFaizah dan Bob Yusuf serta juara Bintang RTM 2024, Rozy Izzy, penyanyi wanita Iban popular, Melissa Francis, Chien Ng, Sulaiman Usop dan Daus Eli.

Acara kemuncak sambutan turut diserikan lagi dengan persembahan percikan bunga api.

Sementara itu, bersempena Sambutan Hari Sarawak ke-61 tahun, beberapa jalan di sekitar Lasar Kenyalang akan ditutup sementara bermula pada pukul 5 pagi hingga tengah malam pada 22 Julai ini nanti.

Ketua Polis Bintulu, Supt Nixon Joshua Ali dalam kenyataan media memberitahu, pada hari tersebut, penutupan jalan akan berkuatkuasa dari Jalan Abang Galau hingga ke persimpangan lampu isyarat di Jalan Paragon dan termasuk jalan dari persimpangan lampu isyarat Jabatan Kerja Raya (JKR) menuju ke Paragon (Jalan Sultan Iskandar) dan Jalan Tun Razak (sebelah kanan bekas tapak lapangan terbang lama Bintulu) sehingga ke persimpangan lampu isyarat menuju ke Parkcity.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk merancang perjalanan mereka lebih awal dan menggunakan laluan alternatif untuk sebarang aktiviti di kawasan bandar serta mengikuti arahan anggota polis bagi memastikan kelancaran acara pada hari tersebut.

Penerbangan dron juga adalah dilarang semasa sambutan tersebut tanpa kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbanagn Awam Malaysia (CAAM).

2007 SAMBUTAN HARI SARWAK 2Peta menunjukkan jalan yang akan ditutup sempena Sambutan Hari Sarawak

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE