fb fb fb fb fb

Hari Kebangsaan ke-67 di Perak dan Kedah disambut meriah

Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Perak

IPOH, 31 Ogos - Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri di perkarangan Dewan Bandaran Ipoh.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sultan Perak kemudian berkenan memeriksa kawalan hormat barisan Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen Kem Sangro Taiping bawah pimpinan Kolonel Abdul Rahim Hamzah.

Seramai 108 kontinjen dengan lebih 6,000 peserta daripada pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian pada perarakan kali ini.

Sambutan itu disaksikan hampir 50,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Sementara itu di Alor Setar, Kedah sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Kedah berlangsung dengan penuh meriah.

Dianggarkan lebih 35,000 rakyat negeri Kedah membanjiri Dataran Medan Bandar bagi menyaksikan lstiadat Perbarisan dan Perarakan.

Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin AlMarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff berkenan berangkat pada istiadat itu.

Berangkat sama Raja Muda Kedah,Tengku Sharafuddin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Salehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Arif Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor.

Istiadat dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Utama. Rejimen Askar Melayu Diraja RAMD terdiri daripada tiga pegawai dan 104 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Muhammad Afiq Ismail.

Perarakan terdiri daripada kategori Pancaragam Sekolah Menengah dan Rendah, badan beruniform institusi pendidikan, badan beruniform kerajaan, badan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan dan agensi kerajaan negeri.

Istiadat  turut diserikan dengan persembahan nyanyian patriotik, tarian kebudayaan dan persembahan kompang, gendang serta seruling.

TETITIA YUSOFF