PUTRAJAYA, 31 Ogos- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menampilkan aset Bot Perkasa 35, Bot Benteng 1, Bot Petir 83, Mobile Surveillance Unit (MSU) pada perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya, di sini pagi tadi.
Selain itu helikopter AS365 N3 Dauphin turut melakukan terbang lintas bersama-sama aset udara pasukan keselamatan lain.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, perbarisan kali ini turut membawakan 404 pegawai dan anggota serta tiga personaliti tempatan dalam perbarisan.
"Pada kali ini kita tunjuk, peragakan pakaian uniform yang ada dipakai oleh anggota pada masa kini. Lima aset yang kita persembahkan hari ini melibatkan tiga bot, dan sebuah helikopter," katanya kepada pemberita di sini.
Tiga selebriti tempatan yang turut serta dalam perbarisan Maritim Malaysia ialah Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy.
Persembahan itu membuka peluang kepada masyarakat mengenali peranan Maritim Malaysia selain menarik minat belia tempatan yang berkelayakan untuk menjadi anggota penguat kuasa.
Sementara itu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berpuas hati dengan tahap disiplin orang awam sepanjang berlangsungnya Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kerjasama itu dilihat berjaya melancarkan lagi sambutan hari bersejarah tersebut dengan tiada laporan diterima.
"Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ni berjalan dengan baik dan lancar, terutamanya kita tengok aliran trafik dalam keadaan baik dan lancar.
"Saya ucap ribuan terima kasih kepada pengunjung yang memberikan kejasama dan patuh arahan daripada anggota," katanya.
Seramai 268 anggota ditugaskan di lokasi terlibat dengan sambutan itu termasuk 18 pegawai sejak malam tadi.
Sambutan Hari Kebangsaan kali ini dihadiri lebih 100,000 pengunjung di Dataran Putrajaya bagi menyaksikan acara yang bermula pada pukul 8.00 pagi tadi.
BERITA BERKAITAN: