fb fb fb fb fb

Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 peringkat kebangsaan dirai di Sabah

Foto hiasan

KOTA KINABALU, 20 April- Masyarakat pelbagai kaum dan peringkat umur dijangka hadir bersama-sama memeriahkan sambutan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan hari ini dalam suasana harmoni di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Sambutan julung kali diadakan di Negeri Bawah Bayu itu membuka peluang untuk pemimpin bertemu serta beramah mesra dengan rakyat.

Majlis bertemakan 'Perpaduan Melalui Perayaan' itu membuka tirai dan menerima kunjungan orang ramai khususnya warga bandar raya Kota Kinabalu seawal pukul 10.30 pagi hingga 3.00 petang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir bagi menyerikan lagi majlis itu pada pukul 11.45 pagi, sebelum dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor juga turut dijadual hadir bagi memeriahkan sambutan itu.

Kerjasama kerajaan Sabah selaku tuan rumah dan Kementerian Perpaduan sebagai peneraju acara sekali gus menandakan bermulanya Jelajah Kembara Perpaduan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 yang bakal disambut pada Mei ini.

Sabah merupakan antara tujuh negeri dipilih bagi menganjurkan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Bersama Perdana Menteri.

Sementara itu penganjurannya di Johor (18 April), Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan berakhir di Terengganu pada 9 Mei.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI