KUALA LUMPUR, 13 Mei - Guru disaran tingkatkan kefahaman tentang literasi undang-undang melibatkan sektor pendidikan, susulan trend kenaikan saman terhadap mereka meningkat sejak dua tahun lalu.
Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata pihaknya telah menerima aduan saman terhadap guru berhubung beberapa isu berkaitan perkhidmatan, isu mengajar, menjalankan kokurikulum serta menguruskan sekolah dan setakat Mei ini lapan aduan telah diterima oleh organisasi berkenaan.
"Ada dari lembaga pengelola sekolah kepada guru, ada daripada guru kepada guru. saya nak tekankan tentang pentingnya dari segi pengetahuan berkaitan undang-undang ni kepada guru , kadang-kadang dia tahu benda tu tak boleh buat,"
"Dan pihak kami pun sedar sekiranya seseorang guru itu disaman, untuk mendapatkan khidmat guaman di luar pun cukup tinggi dan ada kemungkinan sampai tahap guru ini tidak mampu membiayai jumlah kos perbicaraan tersebut," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka NUTP 2023 di sini.
(Aminuddin Awang)
Beliau berkata di NUTP ada menyediakan khidmat guaman kepada ahlinya, namun akan melihat kepada isu yang berkaitan sahaja dan dana ini diperoleh daripada tabung tindakan perusahaan di bawah organisasi tersebut.
"Jadi apa yang saya lihat yang boleh dilakukan adalah di peringkat maktab atau Institusi Pendidikan Guru (IPG) boleh diberikan kursus tentang undang-undang bagi mengelakkan mereka (guru) ini disaman apabila berkhidmat di sektor pendidikan nanti. Kandungan perkara yang patut diajar kepada bakal guru diberikan lebih berkaitan undang-undang.
“Perkara ini juga perlu disebarluaskan kepada mereka (guru) yang sudah berada dalam sektor pendidikan. Cuma setakat ini, kursus ini hanya pilihan dan ditawarkan di beberapa institusi sahaja serta jumlahnya pun terhad," katanya.