LABUAN, 28 September – Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM1 bilion menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dimanfaatkan hampir 13 juta penerima layak di seluruh negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak mencatatkan penggunaan tertinggi, dengan Sabah merekodkan 98 peratus daripada 1.2 juta penerima layak telah membuat pembelian.
Sementara itu, di Labuan, sebanyak 65 peratus daripada hampir 50,000 penerima layak telah menebus sumbangan yang diberikan.
“Penggunaan IC untuk SARA sangat mudah. Datang, tebus, dan baki dalam akaun dibenarkan untuk digunakan. Penambahbaikan kali ini juga kita gabungkan dengan Jualan Rahmah, jadi penjimatan yang diperoleh pengguna lebih daripada biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau Program Jualan Rahmah MADANI dan penebusan SARA di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, jumlah penerima SARA telah dinaikkan kepada 5.4 juta orang berbanding hanya 700,000 penerima sebelum ini, manakala jumlah kedai untuk penebusan turut meningkat kepada 8,100 premis di seluruh negara berbanding 7,300 pada program terdahulu.