KOTA KINABALU, 15 September - Sambutan Hari Malaysia peringkat Sabah yang dijadualkan berlangsung pada Selasa di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, dibatalkan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan mengumumkan perkara itu susulan bencana banjir yang melanda sekurang-kurangnya tujuh daerah di negeri itu akibat hujan berterusan.
"Keutamaan segera Kerajaan Negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas.
"Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan," menurut kenyataan itu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga diarahkan supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan bersiap sedia untuk tindakan segera memandangkan keadaan di lapangan terus berubah susulan cuaca buruk yang berpanjangan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, kini mengadakan mesyuarat untuk memantau perkembangan dan menyelaras tindakan segera di daerah-daerah terlibat.
Orang ramai juga diminta untuk terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan, serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat ketika usaha sedang dipertingkatkan di seluruh negeri itu.