KOTA KINABALU, 3 Julai- Sabah berpeluang meraih pelaburan dan kemasukan pelancong baharu dari Asia Tengah menerusi kerjasama strategik dalam sektor tersebut, selain pendidikan dan teknologi, minyak dan gas juga pelancongan kesihatan.
Potensi itu dicapai menerusi lawatan kerja ASEAN Chamber of Commerce & Industry (ACCI Sabah Chapter) ke Kazakhstan selama tiga hari, diketuai Yang Dipertuanya, Datuk Nordin Ening atas jemputan Dewan Usahawan Kota Almaty (Atameken), baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan Datuk Nordin menjelaskan, sektor pelancongan Kazakhstan berminat menjadikan Kota Kinabalu dan Semporna sebagai destinasi pelancongan utama rakyatnya.
“Penerbangan terus Almaty–Kuala Lumpur (4 kali seminggu) menjadi pemangkin dan AirAsia kini dalam rundingan dan akan menambah satu lagi penerbangan mingguan, menjadikannya 5 kali seminggu pada bulan ini,” menurut kenyataan itu.
Namun jelasnya, promosi secara agresif perlu dilakukan bagi menarik pasaran baharu itu. Sebagai balasan, Kazakhstan menawarkan pengalaman unik di seperti jet ski musim salji bermula Oktober, kereta kabel dan aktiviti pelancongan musim sejuk.
Dalam sektor pelaburan, Kazakhstan telah membuka peluang kepada syarikat Malaysia menyertai projek bernilai tinggi seperti pemprosesan sisa mineral, kilang kenderaan elektrik (EV) dan lapangan minyak.
Menurut Datuk Nordin, pihaknya telah menerima taklimat terperinci berkenaan beberapa projek pelaburan utama yang kini sedang dibuka kepada pelabur luar termasuk kilang pembuatan tali sawat (Conveyor Belt) yang dibangunkan oleh Kumpulan Aytei, antara pemain utama industri pembinaan infrastruktur Kazakhstan.
“Projek ini menyasarkan pengeluaran tali sawat berkualiti tinggi untuk sektor agrikultur, perlombongan dan industri berat”, katanya.
“Kazakhstan masih memiliki lebih 5 bilion tan sisa mineral dari era Soviet yang mengandungi logam bernilai tinggi seperti kuprum. Mereka memerlukan pelabur industri dari Malaysia untuk membina kilang pemprosesan moden di sana,” tambah Datuk Nordin mengulas mengenai peluang pelaburan berkaitan pemprosesan sisa mineral teknogenik (TMW).
Selain itu Malaysia, khususnya Sabah turut ditawar untuk melabur dalam projek Lapangan Minyak Tortai (Wilayah Atyrau). Jelasnya lapangan itu mempunyai rizab geologi sekitar 82.1 juta tong, dengan 22 telaga telah digerudi dan empat daripadanya aktif menghasilkan minyak.
Dalam sektor EV pula, Proton telah menandatangani perjanjian membina kilang EV di Kazakhstan.
Negara tersebut kini memacu ke arah 80 peratus penggunaan EV di bandar-bandar utamanya yang sangat bersih dan lestari. Dalam lawatan sama, turut dibincang kerjasama dalam bidang pendidikan termasuk pertukaran pelajar dan pembangunan teknologi kewangan.
“Kazakhstan turut menyatakan minat untuk membangunkan perbankan Islam dan teknologi kewangan (fintech). Mereka juga terbuka untuk kerjasama pertukaran pelajar dan program pendidikan yang lebih memfokuskan kepada Bahasa Inggeris, memandangkan Bahasa Rusia kini semakin berkurangan digunakan dan UMS dilihat sesuai untuk tujuan tersebut,” kata Datuk Nordin.
Selain itu, rakyat Kazakhstan juga semakin memilih Malaysia, termasuk Sabah, untuk rawatan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan, sekali gus membuka ruang besar untuk pelancongan kesihatan di Sabah, khususnya hospital swasta dan pusat pemulihan.
Justeru Datuk Nordin berkata, ACCI Sabah akan menyelaras tindakan susulan, dan menggesa semua agensi serta pemain industri di Sabah agar bertindak proaktif merebut peluang tersebut.