KOTA TINGGI, 7 September - Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli dijangka dibentangkan di Parlimen seawal Oktober ini selepas mendapat kelulusan jemaah menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan pembentangan akan dilakukan selepas semua sesi libat urus berkaitan selesai dijalankan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen ASEAN mengenai Bantuan Guaman untuk Kanak-Kanak (ACLAC) 2025 di Pusat Persidangan Desaru Coast.
Datuk Seri Azalina menjelaskan, pihaknya kini sedang mengadakan sesi penerangan untuk mendapatkan pandangan awam serta pihak berkepentingan mengenai cadangan penubuhan tribunal tersebut.
“Isu yang saya nak tekankan, roadshow yang kita buat ini untuk mendengar suara rakyat sama ada tribunal lebih baik kerana ia memakan masa lebih pendek untuk pendengaran. Kemudiannya bukan sahaja menghukum tetapi juga merehabilitasi, bukan sahaja mangsa tetapi juga pelaksana. Sebab dalam kes buli ini pelbagai aspek, tribunal lebih luas kuasa dan boleh meneliti semua intipati,” katanya.