fb fb fb fb fb

RUU Perubatan (Pindaan) 2024 lulus, dibahas 12 ahli Dewan Negara

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 29 Julai- Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024, diluluskan di Dewan Negara, hari ini selepas dibahaskan oleh 12 ahli Dewan Negara.

Pada sesi penggulungan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyentuh beberapa perkara terutamanya melibatkan jaminan program Parallel Pathway dan jumlah pakar perubatan dalam negara.

"Ada yang merasakan bahawa kualiti parallel pathway adalah kurang daripada program sarjana perubatan yang saya kira mungkin mereka tidak memahami sehingga hari ini.

"Apakah gerak kerja yang menyaksikan bagaimana satu-satu permintaan daripada universiti, bagaimana mencadangkan satu-satu program selari dengan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

"...tetapi kedua-duanya bertemu dalam penentuan piawaian yang sangat mustahak," katanya ketika sesi penggulungan di Parlimen.

Sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 diluluskan di Dewan Negara hari ini, barisan ahli Dewan Negara mahu RUU itu ditambah baik peruntukan untuk melaksanakan proses kelulusan dan kepakaran pengamal perubatan.

Senator Datuk Kesavadas Achyuthan Nair berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu merangka pelan pembangunan fasiliti perubatan bagi menyokong setiap program latihan kepakaran perubatan.

"Sejajar dengan pindaan Akta Perubatan 1971 ini, saya ingin menegaskan bahawa KKM seharusnya merangka pelan pembangunan fasiliti perubatan yang boleh menyokong setiap program latihan kepakaran perubatan yang dikendalikan oleh sesebuah universiti yang diiktiraf menurut jadual keempat rang undang-undang ini," katanya.

Sementara itu Senator Dr Martina Wan Yusoff menyifatkan kualiti dan kuantiti sama penting demi mencapai satu standard yang sama dengan peringkat antarabangsa.

"Walaupun pindaan dibuat, kualiti dan kuantiti adalah penting, pegawai perubatan yang akan dilahirkan sama ada program sarjana ataupun laluan parallel pathway perlu mencapai satu standard dengan latihan-latihan kepakaran peringkat antarabangsa. Kesihatan rakyat tidak boleh dikompromi," tegas Martina.

Bagi Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, beliau juga mahu ianya diteliti dari semasa ke semasa.

"Saya berkeyakinan pindaan ini akta perubatan ini tidak bersifat tidak boleh diubah, kita juga perlu meneliti dari semasa ke semasa.

"...sama ada perlu dipertingkatkan lagi terutama bagi menjawab soalan-soalan yang dibawa oleh senator berkaitan keresahan di luar sana tentang kedudukan pakar-pakar bumiputera, adakah terjejas," katanya.

Dalam pada itu isu program Parallel Pathway dibangkitkan sekali lagi di Dewan Negara.

Ia berhubung tindakan lapan individu yang didakwa terlibat untuk mengagalkan RUU Perubatan (Pindaan) 2024.

Namun Senator Dr Lingeshwaran Arunasalam menyangkal hujah yang dikemukakan lapan individu berkenaan menerusi e-mail yang dihantar kepada ahli dewan.

"Pertama, mengenai takrifan 'institut latihan yang diiktiraf' dalam Seksyen 2 Akta Perubatan 1971 merujuk kepada takrifan 'pemberi pendidikan tinggi' dalam Seksyen 2 Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007.

"Jadi, KKM tidak boleh dianggap 'institut latihan yang diiktiraf' dalam konteks 'pemberi pendidikan tinggi'. Memandangkan Seksyen 14B(B) meletakkan syarat bahawa pengamal perubatan yang ingin berdaftar sebagai pakar perlu 'menghadiri' latihan di 'institut latihan yang diiktiraf'.

"Maka ada risiko pakar perubatan yang telah berdaftar sebelum ini untuk namanya disingkirkan daripada daftar pakar kerana tidak dilatih di 'institut latihan yang diiktiraf," katanya.

Sebelum ini, Dzulkefly menegaskan program sarjana serta parallel pathway, memerlukan kelulusan dan pengiktirafan bersama-sama anggota MMC, terdiri daripada pakar daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) dan pakar perubatan daripada KKM serta swasta, seperti yang diperuntuk mengikut Perkara 14B(3)(a).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI