KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan (PK) 2025 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam merupakan kemajuan penting dalam reformasi tadbir urus kewangan negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban, Dr Ahmad Faiz Yaakob berkata, tahap ketelusan dan penguatkuasaan terhadap urusan fiskal negara dapat diperkukuhkan dengan adanya undang-undang khusus yang mengawal selia proses perolehan kerajaan.
Penambaikan ini amat diperlukan berbanding proses perolehan kerajaan sebelum ini yang berpandukan pada pekeliling dan arahan perbendaharaan yang dikenal pasti mempunyai kelemahan tersendiri.
"Maka dengan adanya akta ini, semua kementerian dan agensi kerajaan perlu mengikut dan patuh kepada peraturan yang sama dan jika berlaku pelanggaran akan dikenakan hukuman yang jelas.
"Bagi saya, ia satu langkah besar dalam memastikan duit rakyat ini dapat diuruskan dengan lebih telus, berintegriti dan mengikut piawaian antarabangsa," katanya kepada RTM.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mekanisme semak dan imbang yang membolehkan keputusan Menteri Kewangan dicabar dan dikaji semula melalui proses Panel Kajian Semula dan Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali, secara prinsipnya merupakan tindakan yang wajar.
"Bagaimanapun, kejayaan akta ini bergantung pada sejauh mana mekanisme pelaksanaan dapat dipastikan benar-benar telus, bebas dan diyakini rakyat. Jika dilaksanakan dengan baik, RUU ini bakal menjadi reformasi tulen yang memperkukuh akauntabiliti serta integriti dalam pengurusan kewangan awam negara," katanya.