fb fb fb fb fb

RUU Majlis Media Malaysia sentuh isu hasil pengiklanan organisasi media

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 14 Disember - Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia yang dijangka digubal tahun hadapan bakal menyentuh isu keperluan membayar hasil pengiklanan kepada organisasi media.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia perlu diperinci serta mengambilkira situasi ketika ini, yang hanya memberi keuntungan kepada pihak syarikat penyedia platform media sosial semata-mata.

"Sekarang ini banyak daripada yang berniat untuk menyediakan iklan itu ataupun membayar untuk iklan itu, dia tidak lagi membayar kepada syarikat media, dia hanya membayar kepada syarikat media sosial.

"Jadi di sini saya lihat perlu ada sedikit keseimbangan supaya ada sedikit pulangan kepada syarikat-syarikat media. Ini kita masih dalam perbincangan dan saya percaya semua pihak boleh dibawa ke meja rundingan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian ‘Transcending Disinformation: Towards Responsible Media Consumption’ anjuran Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD), di sini.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Fahmi berkata perbelanjaan pengiklanan ialah satu daripada cabaran serius dan terbesar yang dihadapi media tempatan dengan anggaran kerugian dihadapi pemilik organisasi media kira-kira RM2 bilion daripada jumlah RM4.5 bilion perbelanjaan iklan tahunan kepada tiga gergasi media sosial iaitu Meta, Google dan TikTok.

Beliau berharap platform media sosial akan mengadakan banyak sesi libat urus dengan organisasi media untuk membantu mereka menggunakan platform media sosial dengan berkesan dan cekap.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN