KUALA LUMPUR, 14 Disember - Latihan akan diberi kepada pengasuh dan penjaga yang ingin bekerja dalam industri penjagaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata inisiatif tersebut bertujuan melahirkan pekerja industri yang terlatih dan berilmu.
"Khasnya untuk tahun depan, ini menjadi tumpuan kita untuk melatih seramainya biasanya wanita yang terlibat, mereka yang ingin menjadi pengasuh, penjaga kepada kanak-kanak, ibu bapa mereka.
"Kita akan bekerjasama dengan pemegang taruh dalam latihan itu dan kita hendak naikkan taraf mereka. Kita tidak mahu orang memandang rendah kepada orang yang menjalankan tugas ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian penutupan Seminar Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) 2023, di sini.
Tambah Nancy, kerajaan kini dalam usaha pemetaan pemegang taruh agar pelaksanaan industri penjagaan dapat diteliti.
Beliau berkata industri tersebut merupakan dimensi baharu bagi memenuhi keperluan penjagaan warga emas, kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya (OKU).