fb fb fb fb fb

Kelantan, Terengganu kembali dilanda banjir gelombang kedua

Sebanyak 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka hari ini melibatkan dua daerah iaitu di Kuala Krai dan Tanah Merah.

KUALA LUMPUR, 14 Disember - Susulan hujan berterusan di Kelantan sejak Rabu, sebanyak 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka hari ini melibatkan dua daerah iaitu di Kuala Krai dan Tanah Merah.

Menurut laman infoBencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 476 penduduk daripada 119 keluarga di daerah Kuala Krai telah dipindahkan di sembilan PPS manakala 175 orang daripada 47 keluarga telah dipindahkan di lima PPS di Tanah Merah.

Di Kuala Krai, antara PPS terlibat adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embak, Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A dan SK Chenulang.

Manakala di Tanah Merah, antara PPS terlibat adalah di PPS Madrasah Wak Seman Kampung Air Batu dan Balai Raya Padang Kijang.

Sementara itu di Terengganu, Hulu Terengganu menjadi daerah pertama terjejas banjir gelombang kedua di negeri itu.

Satu PPS dibuka pagi tadi di Felcra Gunung Menerong, menempatkan 124 penduduk terjejas.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Mohd Rosman Abdullah berkata proses pemindahan penduduk telah dilakukan dan berjalan lancar.

"Limpahan air sungai dari Sungai Berang telah menyebabkan kawasan sekitar ditenggelami banjir. Kalau ikut Jabatan Meteorologi hujan dijangka lebat sehingga esok  dan sekiranya hujan masih turun secara berterusan kita jangkakan akan bertambahlah mangsa banjir," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN