PUTRAJAYA, 18 September- Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau, Dasar Generasi Penamat (GEG) akan diteliti sebelum dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat bulan depan.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, perbincangan lanjut diadakan hari ini bersama Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen bagi memuktamadkan pindaan RUU berkenaan.
"Ada yang berpandangan bahawa anak-anak ini tidak perlu dikompaun, hanya perlu kita nasihati. Contohnya kalau ada kesalahan merokok yang dilakukan, mungkin kita berikan aktiviti khidmat komuniti."
"Apa pun, kita akan selesaikan masalah ini dan kemudian kita bentang pada bulan Oktober ini untuk dapat persetujuan daripada semua ahli-ahli parlimen kita," kata Zaliha kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Persediaan Persidangan Antara Parti Ke-10 dan Sesi Ketiga Mesyuarat Protokol Menghapuskan Perdagangan Haram Produk Tembakau, di sini.
(Foto FB Menteri)
Sementara itu, Penasihat Kanan Dasar Southeast Asia Tobacco Control Alliance, Dr. Mary Assunta Kolandai berpendapat bahawa RUU tersebut sangat penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat pada masa akan datang.
"Saya percaya Malaysia mampu untuk meluluskan RUU ini. Ia adalah satu keperluan kita semua dalam melindungi anak-anak kita semua," kta Dr. Mary kepada pemberita.