PUTRAJAYA, 17 Julai - Rang Undang-undang (RUU) berkaitan e-dagang dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya pada sidang pertama tahun hadapan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan dapatan awal kajian semakan semula perundangan e-dagang antaranya mempertimbangkan sama ada RUU itu melibatkan perundangan baharu atau pindaan terhadap akta sedia ada.
"Dengan cabaran dan landskap baharu e-dagang ketika ini, kita berpandangan perlunya bentuk kerangka perundangan yang lebih inklusif dan mampan.
"Ia bagi memastikan perlindungan untuk pengguna dan juga perkembangan kepada sektor e-dagang," katanya pada sidang media ketika sesi libat urus kajian semakan semula perundangan e-dagang bersama pemegang taruh dan pemain industri di sini.
Mengulas lanjut katanya penggubalan atau pindaan RUU e-dagang itu akan dibuat berdasarkan tiga teras utama.
"Pertama, memperkukuhkan perlindungan pengguna. Kedua, meningkatkan keadilan kepada semua dalam urus niaga dalam talian termasuk pengguna, pengendali, penyedia platform, penjual dan pembekal. Ketiga, mewujudkan kawal selia yang lebih baik dalam sektor e-dagang," ujar beliau.
Turut diperhalusi keperluan mewujudkan mekanisme kawal selia untuk platform e-dagang berpangkalan di luar negara yang menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia
"Pandangan pertama untuk mewujudkan akta yang akan kita perkenalkan mempunyai 'extra territorial jurisdiction' (perundangan luar wilayah) di negara luar.
"Kedua, menjalin kerjasama dengan negara-negara dimana platform ini berpangkalan melalui mekanisme hubungan kerajaan dengan kerajaan dan sebagainya supaya kita ada persefahaman bagaimana kedua-dua pihak dapat bekerjasama dan kita mempunyai kuasa untuk membuat pemantauan," jelas beliau lagi.
Selain itu, sesi libat urus menerusi hubungan kerajaan dengan kerajaan telah dilaksanakan dengan beberapa negara luar termasuk Turkiye dan China.
"Kita membuat perbincangan awal dengan Turkiye, selain aspek lain isu e-dagang turut diterokai.
"Contohnya dengan China, dalam perbincangan isu atau aspek 'direct selling' (jualan langsung). Kalau boleh kita masukkan juga isu 'direct selling'. Kita turut melihat masukkan elemen e-dagang dan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa dengan negara lain," katanya.
Selain Putrajaya, sesi libat urus kajian semakan perundangan e-dagang akan turut diadakan di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.
Pada 2023, nilai keseluruhan pendapatan e-dagang Malaysia meningkat kepada RM1.18 trilion berbanding RM1.13 trilion pada 2022.
Angka itu terus meningkat pada tahun 2024 dengan nilai keseluruhan RM1.22 trilion.