fb fb fb fb fb

Makmal EMC SIRIM bantu syarikat tempatan tembusi pasaran global

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Datuk Ir. Dr Ahmad Sabirin Arshad (kiri), Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah), dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong (Kanan)/Foto RTM

BAYAN LEPAS, 17 Julai – Syarikat dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) khususnya yang berpaksikan teknologi tinggi, digalak memanfaatkan perkhidmatan ujian produk yang ditawarkan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Datuk Ir. Dr Ahmad Sabirin Arshad, berkata makmal baharu EMC dan RF yang beroperasi di Penang Skills Development Centre (PSDC) kini menawarkan kemudahan kepada syarikat-syarikat E&E, khususnya di utara tanah air.

“Kita boleh jadikan fasiliti ini sebagai pusat latihan. Ia bukan sahaja meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan, malah menyokong inisiatif kerajaan dalam memacu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Dengan kerjasama rapat bersama syarikat tempatan dan PSDC sebagai rakan strategik di Pulau Pinang, kami berharap lebih banyak syarikat E&E akan memanfaatkan kemudahan ini,” katanya demikian selepas merasmikan makmal EMC (Electromagnetic Compatibility) dan RF (Radio Frequency) SIRIM di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

Makmal itu membolehkan ujian produk dilakukan mengikut piawaian antarabangsa sebelum dieksport ke luar negara, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap kualiti produk Malaysia.

Selain itu, kemudahan tersebut dijangka menyumbang kepada pengukuhan rantaian TVET, dengan memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan mendalami teknologi ujian canggih dan memantapkan kemahiran selari dengan keperluan industri masa hadapan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD