fb fb fb fb fb

Rusia anjur Pameran Perdagangan Antarabangsa Pasaran Halal

Pameran Perdagangan Antarabangsa Pasaran Halal menghimpunkan wakil dari semua negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)

KUALA LUMPUR, 29 Mac - Rusia akan menganjurkan Pameran Perdagangan Antarabangsa Pasaran Halal, platform perdagangan terbesar masyarakat Islam dunia, sempena Forum Ekonomi Antarabangsa tahunan 'Rusia-Dunia Islam: KazanForum 2024' pada 14 hingga 19 Mei.

Sekretariat KazanForum dalam kenyataan berkata , pameran dan forum itu akan menghimpunkan wakil dari semua negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Peserta berpeluang mempamerkan produk mereka di kawasan perdagangan seluas 5,000 meter persegi.

Yuran penyertaan ialah AS$210 untuk tempat dagangan yang dilengkapi dengan pameran.

Produk pengkhususan untuk pameran itu ialah makanan, perdagangan borong dan runcit serta barangan pengguna.

"Di Pasar Halal Kazan, pengunjung boleh mendapatkan pakaian, aksesori, kosmetik, dan barangan pengguna lain dengan pensijilan Halal daripada syarikat pengeluar terkemuka dunia Islam.

"Pada 2023 seramai 400 peserta pameran mengambil bahagian dalam Pasar Halal Kazan yang mempersembahkan 4,500 produk," kata kenyataan itu.

Pameran itu menjadi tempat tarikan bagi para pencinta halal dan platform yang mudah untuk membeli-belah keluarga.

Tahun lalu, pameran dikunjungi 40,000 tetamu, termasuk delegasi rasmi dari Malaysia dan wakil media asing.

TETITIA YUSOFF