fb fb fb fb fb

Rundingan semula 40% hasil: Komitmen Persekutuan akui hak Sabah - Penganalisis

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Dr Mazlan Che Soh

KUALA LUMPUR, 14 November- Langkah Kerajaan Persekutuan memulakan rundingan semula pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah, jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf hak rakyat negeri itu selaras termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Lembaran baharu tersebut bukan sahaja mampu memperkukuh kedudukan kewangan, juga merancakkan pembangunan Sabah bagi tempoh jangka panjang.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Dr Mazlan Che Soh berkata rundingan semula itu diyakini mewujudkan hubungan yang lebih seimbang dan positif antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Sekiranya rundingan semula dibuat secara telus dan disegerakan, manfaatnya bukan sahaja melibatkan penambahan dana yang boleh diterjemahkan kepada pembangunan ekonomi yang lebih nyata, malah turut membuka laluan kepada penyediaan infrastruktur yang lebih baik serta pembangunan modal insan berkualiti untuk jangka masa panjang.

Pada masa yang sama, langkah ini menandakan bermulanya satu fasa baharu dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah," jelas Dr. Mazlan kepada Berita RTM secara eksklusif, hari ini.

Mengulas lanjut, selepas rundingan semula itu dimuktamadkan, beliau berpendapat kerajaan negeri perlu memainkan peranan yang lebih proaktif untuk memastikan pengurusan dana dilaksanakan dengan berkesan dan teratur.

“Bagi saya, yang lebih penting daripada pengumuman itu sendiri ialah bagaimana perkara ini diterjemahkan kepada tindakan yang benar-benar konkrit. Rakyat mahu melihat proses rundingan berjalan dengan jelas, mekanisme penggunaan dana dilaksana secara telus, serta tadbir urus dan akauntabiliti dipastikan pada setiap peringkat.

Semua ini perlu dilakukan dengan harapan ia tidak menjadi sekadar isu politik, kerana harapan rakyat Sabah terhadap perkara ini amat besar,” tambahnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM