(Sekitar kemeriahan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Menteri Pertanian dan
Keterjaminan Makanan bersama AMANAH Negeri Kedah di Alor Setar)
ALOR SETAR, 24 April- Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri adalah usaha kerajaan untuk mendekatkan kepimpinan kerajaan persekutuan dengan rakyat di semua negeri berkenaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penganjuran di peringkat negeri memberikan akses maksimum kepada rakyat untuk hadir, berbanding penganjuran berpusat di Putrajaya atau kawasan sekitarnya.
"Bukan semua orang dari negeri-negeri dapat berkunjung ke rumah terbuka sekiranya ia diadakan di Seri Perdana, Putrajaya. Maka, pilihan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk mendekati dan meraikan sebanyak mungkin rakyat."
"Program ini juga usaha kerajaan persekutuan untuk mendekati kerajaan negeri, termasuk yang dipimpin pembangkang. Malah, banyak acara peringkat kebangsaan dirancang untuk diadakan di luar Putrajaya bagi mencapai hasrat menguatkan kerjasama ini," katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama AMANAH Negeri Kedah di Alor Setar.
Beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, tidak timbul soal pembaziran dalam penganjuran rumah terbuka ini.
"Kita komited untuk mengadakan perbelanjaan yang berhemah. Kalau nak diungkit soal pembaziran, kita boleh membuat perbandingan dengan kerajaan terdahulu."
Datuk Seri Mohamad berkata demikian mengulas kritikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri dianggap sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.
Program ini kata Muhammad Sanusi melibatkan kos yang tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan supaya langkah penjimatan dibuat oleh semua pihak.
Katanya, jamuan rumah terbuka Aidilfitri seharusnya diadakan di satu saja lokasi iaitu di Seri Perdana atau di sekitar Putrajaya seperti kelaziman sebelum ini.
Program anjuran Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku penyelaras utama itu diadakan di Kedah pada 29 April, Kelantan (12 Mei) dan Terengganu pada 13 Mei.
Selain itu JPM memaklumkan Perdana Menteri turut dijangka menghadiri tiga majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dilaksanakan Kerajaan Negeri masing-masing iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
(Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengambil kesempatan memberi 'duit raya' kepada kanak-kanak)