fb fb fb fb fb

Rumah setinggan terbakar di Inanam bukan 'kerja' pihak berkuasa

FOTO JBPM SABAH

KOTA KINABALU, 11 Jun- Polis menafikan dakwaan dalam video yang tular di media sosial kononnya pihak berkuasa bertindak membakar rumah setinggan bersebelahan Kampung Kalansanan, Inanam .

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas di sebuah rumah menyebabkan rumah itu terbakar sebelum kebakaran merebak ke kawasan rumah lain.

Ini kerana, rumah pertama yang terbakar itu dijadikan satu-satunya punca untuk kabel bekalan elektrik sebelum kabel bekalan itu disambung ke rumah lain.

Kejadian menyebabkan 26 rumah setinggan hangus terbakar.

“Ketika itu polis berada antara 50 hingga 60 meter dari lokasi berkenaan. Polis berada di belakang kawasan itu dan polis tidak terlibat di bahagian depan (kawasan punca kebakaran) dan kebakaran itu tidak ada kena mengena dengan kawasan operasi.

"Polis turut memberikan penerangan kepada penduduk bahawa pihak berkuasa tidak hadir ke kawasan itu bagi membakar rumah setinggan, sebaliknya mengadakan operasi membanteras pendatang haram dan jenayah,"katanya.

Beliau berkata polis telah membuat panggilan kecemasan melaporkan kejadian itu sebelum bomba tiba pada jam 12.59 tengah hari untuk memadam kebakaran.

Justeru beliau meminta pihak terlibat supaya memadam video tular yang megelirukan orang ramai itu dan menasihatkan semua pihak supaya berhati-hari dalam berkongsi maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE