fb fb fb fb fb

Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI di P. Pinang dilancar pada April

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam sidang media di KOMTAR, George Town

GEORGE TOWN, 20 Mac- Projek Perumahan Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI di Pulau Pinang akan dilancarkan secara rasmi penghujung April depan, secara berfasa.

Permohonan kebenaran merancang bagi projek itu telah mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam tempoh kurang 40 hari, berbanding 70 hari sebelum ini.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, fasa pertama projek akan dilaksanakan di Seberang Jaya melibatkan 38,000 unit rumah dengan harga antara RM225,000 hingga RM 420,000 seunit. Manakala, majoriti fasa lain akan dibangunkan di Bandar Cassia, Batu Kawan.

“Sesi-sesi teknikal dengan agensi-agensi kita telah dapat meluluskan kebenaran merancang kurang daripada 40 hari. Jadi, maksud kita telah membantu dari segi menyegerakan kelulusan dengan harapan projek ini dapat dilancarkan pada bulan Mac, sebab pelan dikemukakan awal Januari.

“Saya dimaklumkan pelancaran sekarang sudah pun dijadualkan pada akhir April,” katanya dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), George Town.

Rumah Bakat Baru MADANI adalah konsep kediaman yang memberi peluang kepada rakyat luar Pulau Pinang untuk memiliki kediaman di negeri itu.

Ia menyasarkan golongan graduan dan individu yang bekerja dalam sektor perindustrian termasuk golongan B40 dan M40.

Pemeteraian perjanjian yang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13 bilion di Pulau Pinang, disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Disember lalu.

ROSLINA BINTI DIN